TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita cedera ditumbuk, cubaan samun gagal di stesen minyak TTDI

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Feb – Seorang wanita cedera selepas menjadi mangsa cubaan samun ketika mengisi angin tayar kenderaan di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1 Februari 2026, jam 8.30 pagi, daripada pengadu wanita warga tempatan berusia 25 tahun.

Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika pengadu bersama rakannya sedang mengisi angin tayar kenderaan di stesen minyak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta bagi mengambil beg tangan yang diletakkan di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, cubaan suspek itu dihalang oleh pengadu dan rakannya, menyebabkan berlaku pergelutan.

“Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan telah ditumbuk di bahagian tangan dan kepala oleh suspek,” katanya.

Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal dan gagal melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai daripada mangsa.

Menurut Hoo Chan Hook, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun yang menyebabkan kecederaan, dan dikendalikan oleh Inspektor Mohd Amar dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Dalam perkembangan sama, polis kini giat menjalankan risikan memandangkan motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Lakaran fotofit suspek, seorang lelaki Melayu, telah disiapkan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang dipergiatkan,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan awam, khususnya di stesen minyak, dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

+ - reset