TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

78 peratus pemegang sijil halal JAKIM di Selangor terdiri peniaga bukan bumiputera

By
|
Kongsi
image

BANGI 4 Feb - Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pensijilan halal dikenal pasti sebagai antara punca utama pengusaha Bumiputera masih rendah dalam memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, ketika ini 78 peratus pemegang sijil halal JAKIM di Selangor terdiri daripada pengusaha bukan Bumiputera, sekali gus menunjukkan penguasaan Bumiputera dalam industri halal masih belum memuaskan.

Katanya, situasi itu menjadi cabaran besar kepada pembangunan industri halal negara dan sekiranya berterusan, ia boleh mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekosistem halal, khususnya dari sudut pematuhan kepada standard halal antarabangsa.

"Pensijilan halal ini tidak dianggap sebagai sesuatu yang mendesak atau keperluan untuk mereka terus berniaga.

"Jika situasi ini berterusan, akan berlaku ketidakseimbangan dalam ekosistem industri halal, dengan terdapat lebih banyak syarikat bukan Bumiputera dan jenama antarabangsa yang masuk ke negara ini dengan sijil halal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Persidangan Ekonomi Halal (IHEC) 2026 bertajuk ‘Ekonomi Halal Global 2026: Tinjauan Strategik Untuk Pasaran Pesat Berkembang’ di sini, semalam.

IHEC 2026 dianjurkan oleh Pembangunan Ekonomi Islam Sedunia (WIED) dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Persidangan selama dua hari itu menghimpunkan wakil kerajaan, pemain industri, institusi kewangan Islam serta ahli akademik dari dalam dan luar negara bagi bertukar pandangan dan pengalaman, selain membina jaringan strategik ke arah pembangunan industri halal.

Sementara itu, Pengarah Pematuhan Halal dan Perkongsian Strategik Antarabangsa, Pure and Good Management Pte Ltd dari Singapura, Dr Zuraimi Jumaat berkata, dunia Islam perlu membangunkan data raya bagi industri halal bagi memperkukuh ekosistem halal di peringkat global.

Menurutnya, JAKIM perlu mempelopori pembangunan data raya berkenaan bagi meletakkan Malaysia sebagai pusat halal global tertinggi yang mengawal rantaian nilai halal dari peringkat huluan hingga hiliran.

"JAKIM perlu kekal kuat, bukan dengan kekuatan sedia ada tetapi dengan unsur seperti data raya, yang akan membolehkan semuanya menjadi telus dan diaudit.

"Ketika ini, semuanya bersegmen, termasuk apabila kita bercakap mengenai institusi perbankan. Anda perlu bersatu untuk menjadi fintech (teknologi kewangan) kepada ekosistem halal.

"Anda mesti bekerja dengan yang terbaik dan mampu membantu pemegang taruh dalam ekonomi halal," katanya pada sesi bertajuk ‘Ekonomi Halal Tanpa Sempadan: Penembusan Pasaran Antarabangsa dan Fokus Perbincangan Pemangkin Pertumbuhan’.

+ - reset