TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Zamri Vinoth antara enam ditahan dipercayai peserta Himpunan GARAH ​​​​​​​

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 8 Feb - Suasana di sekitar pusat beli-belah Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman malam ini berada dalam kawalan ketat polis susulan penahanan beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH).

Beberapa individu dipercayai peserta himpunan GARAH ditahan berhampiran pusat beli-belah Sogo, di sini, malam tadi.

Difahamkan, sekurang-kurangnya enam individu ditahan termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan peguam, Haniff Khatri.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan daripada pihak polis berhubung penahanan terbabit.

Berdasarkan pemerhatian, lokasi sekitar kawasan pusat beli-belah Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman di sini ketika ini dikawal rapi pasukan polis berpakaian seragam dan preman dengan suasana di lokasi berada dalam keadaan terkawal setakat ini.

Beberapa laluan masuk ke pusat beli-belah itu turut ditutup dengan pita bagi mengawal pergerakan keluar masuk pelanggan dengan pintu masuk utama dihalang.

Setakat jam 9 malam semalam, orang ramai yang tidak dapat dipastikan sama ada peserta himpunan atau orang awam masih berkumpul sekitar perkarangan pusat beli-belah itu serta bangunan perniagaan berhampiran.

Terdahulu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan tidak membenarkan penganjuran himpunan GARAH di hadapan Sogo malam ini, atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan satu perhimpunan aman dirancang di hadapan Sogo pada jam 8 malam semalam bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.

Perhimpunan itu dianjurkan GARAH dengan sokongan 141 pertubuhan bukan kerajaan.

+ - reset