TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perdana Menteri India diberi sambutan rasmi negara di Putrajaya

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 7 Feb - Hubungan strategik Malaysia dan India terus diperkukuh apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi menerima sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini.

Ketibaan Modi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Muhamad Nur Addeen Mustaza.

Kedua-dua pemimpin seterusnya ke Kompleks Seri Perdana untuk mesyuarat dua hala dan mesyuarat antara para delegasi kedua-dua negara bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India.

Seusai mesyuarat, Anwar dan Modi akan mengadakan sidang akhbar bersama selepas menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah selain pengurusan bencana dan perjanjian mengenai penerbitan audio visual.

Ini termasuk Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja; Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara selain pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilaksanakan dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).

Lawatan ini merupakan lawatan balas atas jemputan Anwar susulan lawatan rasmi beliau ke India pada Ogos tahun lalu. 

+ - reset