Berita Berita
11 MoU antara Malaysia dan India bukti negara terus dipercayai, keberkesanan kepimpinan Anwar - Ramanan
KUALA LUMPUR 9 Feb - Pemeteraian 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama antara Malaysia dan India disifatkan sebagai pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik utama di peringkat serantau dan global.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kejayaan itu mencerminkan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperluas kerjasama ekonomi dan politik dengan India.
Menurutnya, pencapaian berkenaan turut meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa selain meneguhkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik utama India dalam kalangan negara ASEAN.
"Kejayaan ini diperkukuh oleh prestasi perdagangan dua hala Malaysia-India yang mencecah RM79.49 bilion pada 2025, menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN.
"Prestasi ini mencerminkan hasil reformasi ekonomi, kestabilan politik serta dasar kerajaan yang konsisten dalam menarik pelaburan langsung berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan berkata, pencapaian itu selari dengan hala tuju kepimpinan Perdana Menteri yang memberi penekanan kepada diplomasi ekonomi berimpak tinggi, pelaburan berkualiti serta kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia serta pertukaran MoU dan dokumen kerjasama yang disaksikan kedua-dua pemimpin turut memperkukuh keyakinan politik dan ekonomi India terhadap kestabilan Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
"Kerjasama dalam sektor semikonduktor menerusi pemeteraian kerjasama strategik antara kedua-dua kerajaan adalah isyarat jelas bahawa Malaysia terus dipercayai dalam rantaian nilai industri berteknologi tinggi dan berdaya saing," katanya.
Ramanan turut mengalu-alukan pertukaran MoU dan dokumen kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keselamatan sosial antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Employees' State Insurance Corporation (ESIC) India.
"MoU merangkumi keselamatan, pengurusan bencana serta penjagaan kesihatan dijangka memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan dan penciptaan peluang pekerjaan berkualiti," katanya.
Beliau yang juga menteri pengiring sepanjang lawatan Modi berkata, pemerkasaan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia–India disokong oleh prestasi perdagangan dua hala yang kukuh, sekali gus menepis sebarang keraguan terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Malaysia hari ini bukan sekadar rakan dagang, tetapi rakan strategik yang dipercayai dan diyakini," katanya.
Modi berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia atas undangan Anwar.
Berita berkaitan
April 16, 2026, 7:23 pm
Rumah Terbuka Aidilfitri Green Packet meriah, himpun pemimpin dan tokoh korporat
April 16, 2026, 6:36 pm
PKMD Jasin kesan waris bayi perempuan lima bulan
April 16, 2026, 6:30 pm
Bandar Netivot di selatan Israel 'diserang' ribuan lebah madu
April 16, 2026, 6:27 pm
DSP Ahmad Ruzaini, 5 lagi didakwa merompak guna pistol di Desa Parkcity
April 16, 2026, 6:20 pm
Sanusi tolak cadangan darurat, mahu PRN diteruskan ikut proses demokrasi
April 16, 2026, 6:16 pm
PRESMA meterai MoU dengan Green Packet, restoran mamak bakal lebih maju
April 16, 2026, 5:26 pm
Siti Nurhaliza cedera terlibat kemalangan di Lebuhraya MEX
April 16, 2026, 4:18 pm
Empat lelaki samun kedai emas di Brickfields, kerugian hampir RM10 juta
April 16, 2026, 4:00 pm
Bank Rakyat umum dividen 18 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 tahun
April 16, 2026, 12:33 pm
