Berita Berita
Polis tahan lelaki muat naik hantaran didakwa hina komuniti India
KUALA LUMPUR 12 Feb – Polis menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik hantaran berunsur hasutan dan menyentuh sensitiviti kaum menerusi Facebook, susulan laporan yang diterima pada 10 Februari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan dibuat kira-kira jam 10 malam oleh seorang lelaki berketurunan India yang mendakwa terlihat satu paparan di Facebook ketika berada di sekitar Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Menurutnya, hantaran yang dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Cikgu Chandra itu didakwa mengandungi kenyataan menghina komuniti India serta menyentuh isu kuil tidak mengikut peraturan sehingga berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
“Pengadu mendakwa kandungan tersebut bersifat menghasut dan boleh mendorong tindakan di luar batas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis membuat tangkapan terhadap suspek pada 11 Februari kira-kira jam 3 petang.
Hasil tangkapan berkenaan, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran terbabit.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertanggungjawab memuat naik kandungan berkenaan kerana tidak berpuas hati selain bertujuan menarik perhatian pengikutnya di media sosial.
Beliau kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kenyataan sensitif berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh menjejaskan keamanan serta keselamatan awam.
Tegasnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba mengeksploitasi sentimen perkauman atau agama demi meraih perhatian dan sokongan.
Berita berkaitan
February 12, 2026, 5:08 pm
Saifuddin minta pihak tuduh Azam Baki kemuka bukti
February 12, 2026, 5:01 pm
Angkara salah faham, lelaki ambil nyawa sendiri selepas tikam isteri 13 kali hingga maut di Kepong
February 12, 2026, 3:31 pm
Selangor henti lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat - Amirudin
February 12, 2026, 2:55 pm
Kemboja tutup 200 pusat 'scam', 173 dalang ditahan
February 12, 2026, 2:34 pm
Dewan rakyat pertimbang saringan kesihatan mental Ahli Parlimen
February 12, 2026, 2:28 pm
KPDN beri amaran peniaga bazar Ramadan patuh tanda harga atau diambil tindakan
February 12, 2026, 2:22 pm
AMK yakin kerjasama UMNO-Pas beri kelebihan kepada PH di Melaka
February 12, 2026, 1:33 pm
