Berita Berita
Peluang kedua buat si bapa empat anak, mahkamah pulangkan wang denda RM1,500 lelaki curi susu tepung
MELAKA 12 Feb - Seorang pengawal keselamatan yang sebelum ini didenda RM1,500 kerana mencuri susu tepung dan beberapa barangan lain di sebuah pusat beli-belah tiga minggu lalu, kini dilepaskan dengan bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim, DJP Suria Kumar mengetepikan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Ayer Keroh terhadap Mohamad Ghazali Maidin, 47, dan menggantikannya dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding semakan jenayah pada Khamis minggu lalu.
Berdasarkan dokumen diperoleh, mahkamah memerintahkan Mohamad Ghazali selaku responden dibebaskan dengan bon berkenaan mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah bermula 5 Februari, dengan seorang penjamin tanpa cagaran.
Wang denda yang telah dibayar sebelum ini turut diperintahkan supaya dikembalikan kepada tertuduh.
Pihak pendakwaan selaku pemohon dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Syauqi Mardia Baharudin.
Responden pula diwakili peguam Amritpal Singh, Francis Augustine Soosay, Sharveen Letchumanan dan Goh Han Koon dengan kerjasama empat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Menurut kenyataan media, Han Koon menghujahkan bahawa mahkamah perlu mempertimbangkan semula hukuman berdasarkan prinsip undang-undang di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Katanya, mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan pesalah dengan bon berkelakuan baik tanpa perlu menjatuhkan hukuman penjara atau denda berat.
Beliau berkata, prinsip hukuman ‘reformatif’ menekankan bahawa hukuman seharusnya bertujuan memulihkan pesalah dan bukan menghukum semata-mata, khususnya bagi individu yang terdesak.
"Bon yang diberi bukan bermaksud bebas tanpa syarat, sebaliknya peluang kedua yang bersyarat buat tertuduh," kata peguam.
Sementara itu, Amritpal berkata, faktor anak guamnya merupakan pesalah pertama tanpa rekod jenayah lampau wajar diberi pertimbangan.
Beliau turut menekankan bahawa tertuduh telah direman selama tiga hari dan tempoh itu sudah memadai sebagai pengajaran.
"Barang kes antaranya susu tepung, telah dikembalikan kepada pasar raya terbabit malah dia memberi kerjasama di sepanjang siasatan dijalankan," kata peguam.
Pada 27 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan bapa kepada empat anak itu didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah mencuri satu pencuci pakaian serta masing-masing dua susu tepung dan syampu bernilai keseluruhan RM131.50 milik sebuah pasar raya pada jam 10.30 pagi, 21 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berita berkaitan
February 12, 2026, 5:08 pm
Saifuddin minta pihak tuduh Azam Baki kemuka bukti
February 12, 2026, 5:01 pm
Angkara salah faham, lelaki ambil nyawa sendiri selepas tikam isteri 13 kali hingga maut di Kepong
February 12, 2026, 3:31 pm
Selangor henti lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat - Amirudin
February 12, 2026, 2:55 pm
Kemboja tutup 200 pusat 'scam', 173 dalang ditahan
February 12, 2026, 2:34 pm
Dewan rakyat pertimbang saringan kesihatan mental Ahli Parlimen
February 12, 2026, 2:28 pm
KPDN beri amaran peniaga bazar Ramadan patuh tanda harga atau diambil tindakan
February 12, 2026, 2:22 pm
AMK yakin kerjasama UMNO-Pas beri kelebihan kepada PH di Melaka
February 12, 2026, 1:33 pm
