Berita Berita
Bersekutu Bersatu Johor bubar, bantah pemecatan Hamzah
JOHOR BAHRU 13 Feb – Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor mengumumkan pembubaran rasmi berkuat kuasa serta-merta susulan penyingkiran Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainudin.
Pengerusi Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang berkata, beliau turut mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa hari ini sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil selepas majoriti Ahli Jawatankuasa (AJK) Negeri Bersekutu Johor memilih untuk meletakkan jawatan, sekali gus membawa kepada pembubaran sayap berkenaan di peringkat negeri.
“Pembubaran ini dibuat bagi menyatakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kami terhadap keputusan penyingkiran Timbalan Presiden parti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau memaklumkan antara kepimpinan yang turut melepaskan jawatan ialah Naib Pengerusi, Poobalan Ponnusamy (Tebrau); Setiausaha, Yeo Kwee Kwang (Pulai); Setiausaha Kerja, Kevin Wong Chan Giap serta Bendahari, Roland Lim Ching Eng (Johor Bahru).
Turut berbuat demikian ialah Ketua Penerangan, Khoo Kong Ek (Iskandar Puteri); Biro Aduan Awam, Lim Thow Siang (Tebrau) bersama Naib Ketua, Ang Tun Chek; Biro Antarabangsa, Yap Wen Piau (Pasir Gudang); Biro Pendidikan, Kalai Arasan (Tebrau); Ketua Pemuda, Eugene Lim Yew Chin (Sembrong) dan Ketua Wanita, Joan Ng Geok Yin (Kluang).
Selain itu, beberapa AJK negeri iaitu Tong Liang Fook (Segamat), Goh Jun Hao (Kota Tinggi), Gan Guo Qin (Bandar Tenggara) dan Sadra Segaran (Kulai) turut meletakkan jawatan.
Dalam perkembangan sama, Tan Lek Khang memaklumkan Biro Aduan Awam Bersekutu Johor yang dibubarkan akan dijenamakan semula sebagai Pasukan Perkhidmatan Datuk Tan Lek Khang JP.
Katanya, pasukan tersebut akan terus dipimpin oleh Lim Thow Siang dan Ang Tun Chek bagi meneruskan khidmat serta perundingan kepada masyarakat.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan memecat keahlian Hamzah berkuat kuasa Jumaat selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Berita berkaitan
February 13, 2026, 8:27 pm
UKM jelaskan isu penamatan kontrak lebih 20 staf
February 13, 2026, 8:21 pm
KSN ketuai jawatankuasa khas siasat dakwaan babit Azam Baki
February 13, 2026, 8:04 pm
Muhyiddin panggil mesyuarat khas MPT Bersatu esok
February 13, 2026, 7:11 pm
Ketua Polis KL dedah punca sebenar Lembah Klang sesak teruk sejak awal bulan
February 13, 2026, 7:01 pm
Isu ceroboh tanah: Pemilik tanah tak boleh ambil tindakan sendiri - Amirudin
February 13, 2026, 6:13 pm
Wan Ahmad Fayhsal turut dipecat keahlian BERSATU
February 13, 2026, 5:58 pm
Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU berkuat kuasa serta-merta
February 13, 2026, 5:24 pm
