TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemuda UMNO gesa Azam Baki direhatkan sementara siasatan selesai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 Feb – Pemuda UMNO berpandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki perlu direhatkan sementara sehingga siasatan berhubung isu pegangan sahamnya selesai.

Ketuanya, Muhamad Akmal Saleh menegaskan langkah itu wajar diambil bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah ketika siasatan sedang berjalan.

“Ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti. Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.

“Kepada Tan Sri Azam, prinsipnya mudah – berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas serta telus dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam usaha memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk SPRM.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Madani yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyerahkan kepada jawatankuasa khas untuk melaksanakan siasatan penuh berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan sekiranya Azam didapati bersalah, proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi.

“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras. Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan.

“Kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar jawatankuasa siasatan itu dipantau badan bebas sama ada melalui jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas berkredibiliti tinggi bagi memastikan proses tidak dilihat sebagai ‘kerajaan menyiasat kerajaan’.

Katanya, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu, dan proses siasatan mestilah diyakini bebas, telus serta tanpa konflik kepentingan.

+ - reset