TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rasuah: 'Jaga-jaga, tidak kira apa pangkat anda, tiada yang terkecuali dari radar termasuk SPRM sendiri' - Agong

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Feb – Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap kegiatan rasuah dan menegaskan lebih ramai pihak sedang berada dalam ‘radar’ baginda dalam usaha membersihkan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan dikeluarkan, baginda menegaskan rasuah merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.

Baginda turut mengingatkan usaha membanteras rasuah tidak terhad kepada jabatan tertentu atau hanya melibatkan pemberi dan penerima rasuah semata-mata.

“Berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Tidak kira apa jua pangkat anda… Begitu juga ejen-ejen yang menjadi orang tengah selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan… anda juga dalam radar,” titah baginda.

Kenyataan itu hadir ketika pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan berhubung isu rasuah negara, termasuk dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan memberi jaminan akan bekerjasama dalam siasatan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan pihak berkaitan perlu berhati-hati dan tidak menyangka baginda tidak mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah.

“Bah kata pepatah siapa makan cili, dia terasa pedas. Jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa.

“Saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau retorik kerana tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang.

Pada masa sama, baginda bertitah sekiranya terdapat pegawai gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, pertukaran perlu dilakukan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain.

“Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah baginda.

+ - reset