Berita Berita
Fi lesen gim di Kuala Lumpur turun 80 peratus, perkasa agenda bandar sihat – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR 3 Mac – Kadar fi lesen operasi gimnasium di ibu negara diturunkan kepada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, iaitu pengurangan sebanyak 80 peratus yang berkuat kuasa Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata langkah proaktif itu hasil sesi libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM), selaras usaha memperkasa agenda bandar sihat.
Menurut beliau, kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi terus menunjukkan trend membimbangkan, khususnya di kawasan bandar yang berdepan gaya hidup kurang aktif serta kekangan masa untuk bersenam secara konsisten.
“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kadar berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mencecah 32.6 peratus, bersamaan kira-kira 6.86 juta orang.
“Tiga kadar tertinggi di seluruh negara direkodkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur (40.6 peratus), Putrajaya (35.5 peratus) dan Labuan (34.8 peratus).
“Kedudukan ini menunjukkan beban kesihatan awam lebih tertumpu di kawasan metropolitan dan pentadbiran Persekutuan, sekali gus menuntut pendekatan dasar lebih responsif dan bersasar di peringkat bandar,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Presiden PPGM, K Krishnakumar.
Seiring penurunan fi lesen itu, Hannah berkata Kerajaan MADANI menggalakkan pengusaha gim menyalurkan manfaat berkenaan kepada masyarakat melalui pendekatan berimpak tinggi.
“Antaranya termasuk menawarkan diskaun keahlian bagi sesi senaman antara 6 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 7 malam bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak serta membantu mengurangkan kesesakan trafik bandar.
“Selain itu, pengusaha gim dicadangkan menyediakan kadar khas atau diskaun kepada warga emas bagi menyokong penuaan aktif dan sihat.
“Ini adalah cadangan daripada kerajaan, manakala pelaksanaannya terserah kepada pengusaha gim,” katanya.
Beliau menjelaskan, penurunan fi lesen itu hanya terpakai kepada premis gimnasium semata-mata. Gimnasium yang turut menjual produk makanan kesihatan atau suplemen akan dikenakan fi lesen perniagaan komersial yang berbeza.
“Premis terbabit mesti ‘pure’ gim. Jika ada yang menambah penjualan suplemen dan berbentuk perniagaan komersial, DBKL akan meneliti dan kadar fi lesen berlainan akan dikenakan,” katanya.
Berita berkaitan
March 3, 2026, 7:25 pm
Kes pelajar pijak al-Quran: 'Saya sendiri saksi syahadahnya' - Firdaus Wong
March 3, 2026, 6:26 pm
Kejut sahur hingga ganggu orang tidur bukan ajaran Islam
March 3, 2026, 5:51 pm
Dua kakitangan Farm Fresh terbabit dalam nahas helikopter di Filipina
March 3, 2026, 4:21 pm
Perempuan pun nak curi kabel, tiga sekawan didenda RM5,000 mengaku salah curi kabel TM
March 3, 2026, 2:38 pm
Bakal pengantin didenda RM2,000 gara-gara simpan gambar lucah dalam telefon bimbit
March 3, 2026, 1:48 pm
