TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tabung dah dipulangkan, wang hanya lebih RM200 saja' - Peguam tiga lelaki curi tabung masjid sifatkan penjara 6 bulan keterlaluan

By
|
Kongsi
image

 

 

SHAH ALAM 3 Mac – Hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 terhadap tiga lelaki yang mengaku bersalah mencuri tabung masjid minggu lalu disifatkan sebagai keterlaluan oleh pihak pembelaan yang berhasrat membawa semakan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam, Ashrul Haikal berkata, hukuman tersebut wajar disemak semula memandangkan ia merupakan kesalahan pertama melibatkan anak guamnya iaitu K Tineshuaran, 26; R Nishanraj, 22 dan R Danesh, 27.

Menurutnya, pihak pembelaan telah memohon agar pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan bagi membolehkan semakan rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Jika mahkamah tidak membenarkan penangguhan hukuman itu, kemudian anak guam selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama enam bulan, ia akan menyebabkan permohonan kami menjadi sia-sia.

“Tabung itu telah dikembalikan malah jumlah wang dalam tabung lebih RM200 sahaja,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Swinder Singh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar membantah permohonan penangguhan tersebut.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan berkenaan kerana mendapati tiada keadaan khas atau istimewa yang membolehkan tertuduh diberikan penangguhan hukuman.

Sebelum ini, tiga lelaki terbabit termasuk seorang remaja 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri tabung masjid dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM4,000 bagi tertuduh dewasa.

+ - reset