TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRR terbesar bakal dibina di Seri Permaisuri, 1,319 unit disasar untuk mahasiswa, orang muda ​​​​​​​

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 3 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membangunkan Program Residensi Rakyat (PRR) terbesar di Seri Permaisuri, Kuala Lumpur melibatkan 1,319 unit kediaman sebagai kemudahan perumahan transit untuk mahasiswa dan golongan muda.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian berkenaan hari ini.

“Butiran mengenai PRR itu akan diumumkan pada majlis pecah tanah dan bakal dibina di kawasan perumahan yang cantik di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Program Ihya Ramadan yang turut dihadiri Perdana Menteri.

Menurutnya, PRR merupakan program perumahan awam yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan khusus bagi membantu golongan setinggan dan B40 menikmati kemudahan perumahan lebih baik serta selesa pada kadar harga jualan mampu milik atau sewaan rendah.

Terdahulu, Nga menghadiri Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPKT yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Dalam program sama, Perdana Menteri bersama warga KPKT turut mendengar tazkirah bertajuk ‘Ramadan Membina Perpaduan dan Kasih Sayang’ yang disampaikan Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Haris, sebelum menunaikan solat Zuhur berjemaah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

+ - reset