TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes pelajar pijak al-Quran: 'Saya sendiri saksi syahadahnya' - Firdaus Wong

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan beliau pernah menjadi saksi kepada individu yang didakwa memijak al-Quran sebelum ini, dalam proses melafazkan kalimah syahadah.

Menurutnya, lelaki dikenali sebagai Ryan Vikneswaran yang kemudian mahu dipanggil Muhammad Zain itu mula menghubunginya pada 19 Jun 2024 sebelum sanggup datang dari Kuantan ke Bukit Bintang pada 15 September tahun sama bagi tujuan berdialog.

Firdaus berkata, pada 13 November 2024 lelaki berkenaan memaklumkan hasrat untuk memeluk Islam, namun ia tidak menjadi kenyataan ketika itu.

“Dia mesej saya sekali lagi pada 20 April 2025 meminta saya menyaksikan syahadahnya sekali lagi. Selepas syahadah, dia mahukan saya memanggilnya Zain dan bukannya Ryan.

“Kisah pengislamannya pernah saya kongsikan sebagaimana permintaannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, beliau mendedahkan individu terbabit merupakan seorang mualaf yang sudah melafazkan syahadah pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu tidak mempunyai rekod pendaftaran pengislaman di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata beliau tidak pasti sama ada lelaki tersebut mendaftarkan pengislamannya atau mengikuti kelas agama kerana pihaknya hanya menyediakan kelas percuma serta menasihati mualaf supaya mendaftar secara rasmi tanpa boleh memaksa.

“Siapa yang ingin memeluk Islam, kami bantu. Tidak mempersoalkan keikhlasan dan tujuan mereka. Itu hak mereka.

“Dari segi ratio mualaf yang memeluk Islam dan kemudian hadir kelas sangat rendah. Kalau yang lahir Islam kita nasihat untuk belajar agama, solat dan puasa pun belum tentu mereka ikut, bagaimana pula dengan mualaf,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, ribuan individu telah memeluk Islam melalui pertubuhan Multiracial Reverted Muslims (MRM), namun kekangan kakitangan menyebabkan usaha susulan hanya dapat dilakukan setakat kemampuan dan sekiranya individu terbabit mahu dihubungi.

Tambahnya, terdapat juga mualaf yang tidak menjawab panggilan, mesej tidak berbalas serta menukar nombor telefon tanpa memaklumkan kepada pihaknya.

Dalam pada itu, Firdaus menyentuh dakwaan tular kononnya lelaki berkenaan mengaku beragama Kristian.

Menurutnya, peguam individu terbabit ada berhubung dan memaklumkan anak guamnya mengaku pernah berhubung dengannya, namun tidak mengaku memeluk Islam.

“ALLAH SWT lebih mengetahui. Saya kurang pasti. Yang saya pasti adalah dia yang mesej saya dan mahu saya menyaksikan sekali lagi syahadahnya. Semua itu ada dalam perbualan WhatsApp antara kami,” jelasnya.

Beliau turut mengakui terkejut dengan tindakan lelaki itu yang didakwa memijak al-Quran kerana sebelum ini dilihat begitu teruja apabila diberikan kitab suci tersebut dan berjanji untuk menjaganya dengan baik.

Bagaimanapun, Firdaus menegaskan sama ada seseorang itu Muslim atau bukan Muslim bukan alasan untuk diringankan hukuman.

Tegasnya, sebagai Muslim, prinsip keadilan perlu diperjuangkan tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan tidak tergesa-gesa mengulas isu berkenaan kerana mahu memastikan setiap kenyataan dibuat berdasarkan fakta dan bukan persepsi semata-mata.

+ - reset