TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Perempuan pun nak curi kabel, tiga sekawan didenda RM5,000 mengaku salah curi kabel TM

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 3 Mac - Lima individu termasuk tiga wanita dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM).

Tertuduh, Nurul Aleeya Aneesya Abd Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22; dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, masing-masing didenda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, Mohammed Arif Sharif, 25, dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, pula didenda RM250 atau dua bulan penjara.

Hukuman berkenaan diperintahkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Mengikut pertuduhan, tiga wanita terbabit didakwa mencuri kabel milik TM di Seksyen 3 kira-kira jam 5 pagi pada 20 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Dalam kes berasingan, Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan dituduh bersama-sama memiliki peralatan untuk kegiatan mencuri tanpa alasan munasabah bagaimana ia diperoleh di Seksyen 7 di sini kira-kira jam 12.08 tengah malam kelmarin.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di mahkamah berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta tarikh jatuh hukum pada 28 April terhadap Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan susulan pengakuan bersalah mereka atas pertuduhan bersama-sama dengan niat mencuri soket dan kabel dalam rumah peti milik TM kira-kira jam 12.08 tengah malam kelmarin. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Majistret Ameera Mastura Khamis turut menetapkan 4 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes serta membenarkan ikat jamin RM5,000 terhadap L Kelemen, 40, dan N Tharumaraaj, 44, yang mengaku bersalah menghapuskan harta curi iaitu kabel TM di Kampung Kepayang, Ipoh, Perak kira-kira jam 3 petang pada 26 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi manakala barisan pembelaan terdiri daripada Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, M Partiben serta Amirah Nashaida daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

+ - reset