Berita Berita
James Chai nafi terlibat salah guna kuasa, dakwa diburu hanya kerana ada kaitan dengan Rafizi
KUALA LUMPUR 5 Mac – Penganalisis politik, James Chai yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tampil menegaskan beliau tidak terlibat dalam dakwaan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan bekas majikannya.
Menurutnya, isu berkenaan bermula susulan penganjuran persidangan teknologi KL20 pada April 2024, yang dianjurkan Kerajaan Persekutuan dan menampilkan pelbagai tokoh industri teknologi serta syarikat antarabangsa.
Beliau mendakwa pasukan Arm Limited kemudian dijemput secara tergesa-gesa untuk bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada hari pertama persidangan tersebut, 22 April 2024.
Turut terlibat dalam pertemuan itu berdasarkan gambar yang dikongsinya ialah Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Gobind Singh Deo, Zambry Abdul Kadir dan Fahmi Fadzil bersama beberapa pegawai kanan kerajaan.
James berkata permintaan utama kerajaan ketika itu ialah agar Arm Limited membantu aspirasi semikonduktor Malaysia.
“Disebabkan semangat terhasil daripada KL20 dan keterdesakan Anwar, pihak Arm Limited memberi cadangan awal mengenai kaedah kerjasama ini boleh dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
SPRM sebelum ini dilaporkan memaklumkan James atau nama penuhnya Chai Jin Shern disyaki menyekat panggilan pegawai penyiasat selepas beberapa kali cubaan menghubunginya, selain dikesan berada di United Kingdom sebelum notis pencarian dikeluarkan agensi itu.
James turut menjelaskan bahawa selepas pertemuan dengan Arm Limited, beliau ditugaskan meneroka peluang kerjasama dengan syarikat tersebut atas arahan bekas Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.
Sepanjang tempoh itu, beliau mendakwa telah menyediakan puluhan pembentangan dan dokumen berkaitan, selain berbincang dengan lebih 100 pihak berkepentingan dalam kerajaan dan industri.
Maklum balas daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kewangan Malaysia dimasukkan dalam perjanjian akhir yang kemudian dibentangkan kepada Kabinet sebanyak tiga kali.
Kerajaan akhirnya menandatangani perjanjian bersama Arm Limited melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam acara rasmi pada 5 Mac 2025.
James yang juga bekas pelajar jurusan perundangan di Universiti Oxford, United Kingdom menjelaskan beliau turut terlibat dalam pelbagai inisiatif kerajaan sebelum meletak jawatan pada Jun 2025 dan membantu Arm Limited dalam tempoh peralihan jangka pendek selama dua bulan.
Beliau menegaskan peranannya hanyalah bersifat teknikal dan perancangan dasar, serta menafikan sebarang salah laku seperti yang didakwa.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
