Berita Berita
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
Oleh AZRUL RADI
KUALA LUMPUR 5 Mac – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sengaja menyekat usaha penyatuan parti-parti Melayu susulan reaksi keras beliau terhadap ahli parti yang mengadakan pertemuan dengan pihak luar.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa sikap dingin Muhyiddin terhadap usaha permuafakatan dengan parti-parti besar di negara ini menjadi punca utama kegagalan penyatuan politik Melayu.
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Wan Saiful menegaskan bahawa rundingan perlu dilakukan dengan mana-mana pihak yang bersedia demi agenda penyatuan tersebut. Beliau turut mengulas mengenai dakwaan 'Bangkok Move' dengan menyatakan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut, namun menyokong sebarang usaha dialog politik.
Kenyataan itu hadir sebagai maklum balas kepada penjelasan Muhyiddin sebelum ini yang mengaitkan tindakan pemecatan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan gerakan dalaman untuk memecah-belahkan parti. Muhyiddin mendakwa Hamzah secara rahsia bertemu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk rundingan tanpa kebenaran parti.
"Dalam kumpulan sembang, saya ada bertanya siapa yang bertemu Zahid. Walaupun tiada jawapan secara langsung, saya mempunyai maklumat sahih bahawa individu tersebut ialah Hamzah. Ini adalah isu disiplin yang besar dalam parti," kata Muhyiddin dalam satu wawancara khas baru-baru ini.
Bagaimanapun, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berpendapat pendekatan Bersatu sepatutnya lebih inklusif dalam mengusahakan perpaduan parti Melayu di semua peringkat. Beliau mendakwa Muhyiddin bukan sahaja tidak berminat dengan permuafakatan luar, malah membiarkan hubungan baik dengan Pas menjadi renggang.
Dalam masa yang sama, Wan Saiful mendakwa tumpuan Muhyiddin kini lebih terarah kepada isu jawatan. Beliau menyindir reaksi keras Muhyiddin terhadap spekulasi pelantikan Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri, sedangkan terdapat usaha pihak tertentu untuk mencalonkan semula Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
"Jika jawatan itu untuk beliau, hukumnya seolah-olah dibenarkan. Namun, apabila ia melibatkan orang lain, ia dianggap sebagai satu kesalahan pula?" soalnya dalam nada sindiran.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
