Berita Berita
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
Oleh AZRUL RADI
MERU 5 Mac – Polis Kontinjen Selangor mengesahkan seramai lapan lelaki warganegara yang terlibat dalam insiden kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru pada 2 Mac lalu telah berjaya ditahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa kesemua suspek ditangkap melalui tiga fasa serbuan berasingan.
Lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan dalam fasa pertama, disusuli dua lelaki berusia 39 hingga 44 tahun pada tangkapan kedua, dan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun dalam tangkapan ketiga. Kesemua mereka kini sedang dalam tempoh reman bagi membantu siasatan.
Hasil semakan rekod mendapati sebahagian daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau yang berat termasuk kes bunuh, cubaan membunuh, samun berkumpulan, merusuh, dan pecah rumah.
Malah, salah seorang daripada mereka merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.
"Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Benzo, manakala yang lain adalah negatif," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Dalam operasi tersebut, pihak polis turut merampas sebatang besi paip dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan berkenaan. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148, Seksyen 427, dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Polis Kontinjen Selangor menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berani mencabar kedaulatan institusi kepolisian dan menggugat ketenteraman awam.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
