Berita Berita
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
Oleh AZRUL RADI
KUALA LUMPUR 5 Mac – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai cuba mencuri kabel di Kilometer 37.478, antara sektor Telok Gadong dan Teluk Pulai, Klang, petang semalam.
Insiden yang berlaku sekitar jam 6.45 petang itu dikesan oleh dua anggota polis bantuan KTMB yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan panas (hotspot) kecurian kabel. Anggota bertugas terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan kereta api tersebut.
Meskipun suspek cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, tindakan pantas anggota polis bantuan berjaya menyekat pergerakannya. Hasil pemeriksaan menemukan sebilah pisau dan gunting di dalam beg kecil yang dibawa suspek, dipercayai peralatan bagi menjalankan aktiviti jenayah berkenaan.
"Suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada jam 7.20 malam bagi tujuan siasatan lanjut," kata KTMB dalam satu kenyataan hari ini.
KTMB turut menegaskan bahawa pencerobohan dan kerosakan pada infrastruktur kereta api adalah kesalahan berat di bawah Akta Keretapi 1991 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Perbuatan sabotaj seperti mencuri kabel bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan operasi tren dan menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada orang awam.
Pihak pengurusan KTMB menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan landasan untuk menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 atau melaporkannya kepada balai polis berdekatan.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
