Berita Berita
Budak 10 tahun cedera terkena peluru senapang angin jiran ketika main di depan rumah di Kemaman
KEMAMAN 5 Mac – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera di belakang badan selepas dipercayai terkena peluru senapang angin yang dilepaskan jirannya dalam kejadian di FELDA Seberang Tayor, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, murid Tahun Empat berkenaan sedang bermain di hadapan rumah bersama abangnya sebelum terdengar bunyi letupan kuat dan berasa sakit di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa menangis selepas terkena tembakan itu sebelum ditenangkan ibu bapanya.
"Mangsa menangis sebaik terkena tembakan itu dan kedua-dua ibu bapa mangsa yang menenangkan mangsa kemudian mendapati terdapat kesan kemerahan di belakang badan anaknya itu. Bapa mangsa juga menemui sebiji bebola besi berwarna kelabu di hadapan rumahnya dan mengesyaki bebola besi itu dijadikan peluru senapang angin yang digunakan jirannya," katanya.
Beliau berkata, bapa mangsa kemudian membuat laporan di balai polis kira-kira jam 5 petang semalam.
"Sebaik menerima laporan, polis menahan suspek yang berusia 58 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang. Hasil siasatan, polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri berukuran 123 dan 107 sentimeter serta sembilan biji bebola besi," katanya.
Mohd Razi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah rumah mangsa yang terletak kira-kira 40 meter dari rumahnya.
"Suspek mendakwa tidak menyangka tembakan yang dilepaskannya itu terkena mangsa. Suspek mengaku salah dan mendakwa selarasa senapang angin itu dibeli menerusi dalam talian tahun lalu, manakala selaras lagi direka sendiri bagi tujuan menembak burung.
"Hasil ujian air kencing terhadap suspek yang mempunyai 10 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu mendapati dia positif dadah jenis Morfin.
"Suspek ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Berita berkaitan
March 5, 2026, 4:45 pm
Berebut kawasan sekuriti tapak perumahan punca pegaduhan dalam Balai Polis Meru
March 5, 2026, 1:45 pm
Lelaki warga asing ditahan polis bantuan KTMB, disyaki cuba curi kabel landasan di Klang
March 5, 2026, 1:12 pm
Suspek gaduh di Balai Polis Meru milik rekod jenayah cubaan bunuh, dikehendaki bawah Poca
March 5, 2026, 1:02 pm
Isu penyatuan parti Melayu: Wan Saiful dakwa Muhyiddin Yassin jadi penghalang permuafakatan
March 5, 2026, 12:31 pm
Nahas Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak: Seorang warga Iraq maut, tiga warga Yemen cedera ringan
March 5, 2026, 12:20 pm
