TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes gaduh dalam balai: KP Selangor beri amaran jangan cabar institusi kepolisan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 5 Mac – Polis memberi amaran tegas bahawa tindakan mencabar institusi kepolisan dan ketenteraman awam tidak akan dikompromi susulan insiden kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan dipercayai menjadi punca pergaduhan tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek yang terlibat saling mengenali antara satu sama lain dan dipercayai mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.

Beliau berkata, polis telah berjaya menahan kesemua lapan suspek lelaki tempatan membabitkan kes berkenaan.

“Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang telah direman tiga hari sehingga 5 Mac sebelum dilanjutkan sehari lagi.

“Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun dan telah direman tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga membabitkan seorang lagi individu yang turut direman tiga hari sehingga 7 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berat lampau termasuk kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh) dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan), selain kes merusuh dengan senjata dan pecah rumah.

Tambahnya, salah seorang suspek juga merupakan individu yang dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya lagi, seorang daripada suspek turut didapati positif dadah jenis benzo.

“Polis telah merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut,” ujarnya.

Shazeli menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang mencabar kedaulatan institusi kepolisan serta menggugat ketenteraman awam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Polis 1967 selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

+ - reset