TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Had tempoh jawatan PM: Takiyuddin bidas Fahmi, sifatkan dakwaan kerajaan 'kebudak-budakan'

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 6 Mac – Pas membidas kenyataan kerajaan yang menyalahkan pihak pembangkang berhubung kegagalan kelulusan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan dakwaan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bahawa kegagalan itu berpunca daripada "salah faham" ahli Parlimen pembangkang sebagai kenyataan yang tersasar dan tidak berasas sama sekali.

Menurut Takiyuddin, dakwaan tersebut hanyalah satu percubaan untuk mengalih perhatian daripada kelemahan sebenar kerajaan yang gagal memastikan kehadiran serta sokongan padu ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri semasa sesi pengundian yang memerlukan majoriti dua pertiga.

"Percubaan untuk mengheret dan mengalihkan kesalahan kepada pihak pembangkang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menyerlahkan sifat kebudak-budakan dan pemalas kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan bahawa semasa sesi perbahasan, pihak pembangkang telah menekankan bahawa sebarang cadangan pengehadan tempoh jawatan tersebut perlu diteliti dalam kerangka perlembagaan yang lebih luas. Ini termasuk mengambil kira kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) dalam pelantikan seorang Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, pembangkang turut mencadangkan agar pindaan sebesar itu dirujuk dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu memandangkan implikasinya terhadap kedudukan institusi beraja di Malaysia.

"Pas kekal komited kepada usaha reformasi yang tulen dan jujur, namun ia mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selari dengan semangat perlembagaan negara," tegas beliau.

+ - reset