TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KTMB catat peningkatan penumpang ETS sempena Tahun Baharu Cina 2026

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Mac – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan pertambahan ketara jumlah penumpang bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, dalam tempoh 13 hingga 22 Februari lalu, ETS membawa seramai 227,512 penumpang berbanding 132,636 orang bagi tempoh sama pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 72 peratus.

Menurutnya, pertambahan itu didorong permintaan perjalanan yang tinggi ketika musim perayaan selain kecenderungan orang ramai memilih ETS sebagai pilihan pengangkutan bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

“Ia sekali gus menunjukkan tahap keyakinan penumpang terhadap perkhidmatan ETS sebagai antara mod pengangkutan utama ketika musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebanyak 60 perjalanan tren ETS disediakan sepanjang tempoh sambutan perayaan tersebut.

Jumlah itu merupakan tawaran perjalanan tertinggi pernah disediakan oleh KTMB setakat ini bagi memenuhi keperluan penumpang.

Menurut Azlan Shah, peningkatan kapasiti tersebut dapat dilaksanakan susulan penerimaan penuh 10 set tren ETS3 baharu yang membolehkan syarikat mengoptimumkan operasi perkhidmatan.

Langkah itu juga bertujuan memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa, selamat serta menepati jadual perjalanan.

Tambahnya lagi, KTMB turut memperkenalkan empat perjalanan tren EMU Plus bagi laluan KL Sentral ke Ipoh khusus sempena musim perayaan bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang.

Dari segi jualan tiket pula, sambutan pengguna amat menggalakkan apabila sebanyak 182,934 tiket berjaya dijual, bersamaan kadar jualan 99.79 peratus bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

+ - reset