TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar tegur dakwaan Bersih, minta teliti laporan sebelum buat tuduhan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 6 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuduhan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi alat politik kerajaan adalah tidak adil, sambil menggesa pihak yang membuat dakwaan supaya meneliti laporan berkaitan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Beliau berkata, sebarang tuduhan tidak seharusnya dibuat secara terburu-buru atau berasaskan persepsi semata-mata tanpa merujuk fakta dan laporan rasmi.

“Itu adalah pandangan Bersih lah. Tapi tidak adil untuk Bersih tidak membuat kenyataan yang ‘bersih’. Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu baru bagi jawapan (kenyataan).

“Kalau tidak, kalau nak pakai sergah begitu saja, saya tidak pertahankan, tapi saya kata dia dah buat jawatankuasa, saya percaya kepada Peguam Negara. Dia bagi laporan, ini (saya) belum terima laporan.

“Ini belum terima laporan, kita tuduh kena ikut selera politik, itu yang dikatakan selera politik. Jangan, bulan Ramadan, apa lagi kita buat menyerang orang. Dapat maklumat dulu kemudian buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ihya’ Ramadan bersama Pengurusan Tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengecam hala tuju SPRM dan mendakwa agensi penguatkuasaan itu semakin terpesong daripada mandat asalnya untuk membanteras rasuah.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan mendakwa SPRM dilihat menjadi alat intimidasi politik.

Dakwaan tersebut merujuk kepada tindakan SPRM yang sedang mengesan bekas pegawai kepada seorang bekas menteri, dikenali sebagai James Chai, selain desakan bekas menteri berkenaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

+ - reset