TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Harga RON95 masih terkawal walaupun konflik Asia Barat – Anwar

By
|
Kongsi
image

SEPANG 6 Mac – Harga petrol RON95 di negara ini masih berada pada tahap terkawal meskipun konflik yang berlaku di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan bagaimanapun akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan secara berterusan bagi menilai sebarang implikasi terhadap ekonomi negara.

Beliau pada masa sama menasihatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan konflik tersebut.

Menurutnya, situasi semasa menunjukkan lebih 200 kapal minyak dan gas kini terkandas di Selat Hormuz, yang berkemungkinan memberi kesan kepada aktiviti perdagangan dan kos pengangkutan.

“Buat masa ini keadaan masih terkawal. Namun kita tahu kapal minyak dan gas yang tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 buah dan perkara ini tentunya memberi kesan kepada perniagaan serta kos pengangkutan kerana laluan alternatif yang lebih jauh terpaksa digunakan.

“Setakat ini seperti yang saya umumkan, kerajaan akan cuba mengawal harga termasuk mengekalkan RON95 pada kadar RM1.99 seliter, tetapi petunjuk awal situasi ini tidak begitu menyenangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Musolla IOI City Mall di sini hari ini.

Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak memandang ringan konflik yang berlaku di Asia Barat kerana ia berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

“Saya syorkan semua pihak termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga supaya lebih berwaspada. Jangan ambil mudah kerana keadaan ini boleh berkembang menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada jangkaan.

“Kerajaan akan mengambil langkah segera sekiranya keadaan berlarutan kerana kesannya terhadap ekonomi tidak dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, antara kesan yang dijangka termasuk peningkatan kos barangan serta kos import yang melibatkan syarikat kecil dan sederhana (SME) selain barangan makanan.

Dalam pada itu, Anwar berharap media tempatan dapat memainkan peranan lebih aktif dalam melaporkan perkembangan konflik tersebut supaya rakyat memperoleh maklumat terkini.

“Saya lihat liputan media tempatan agak kurang berbanding negara jiran. Saya tidak mahu rakyat berada dalam keadaan terlalu selesa sehingga berbelanja tanpa kawalan serta mengamalkan pembaziran.

“Saya minta semua pihak mula berjaga-jaga dari sekarang,” katanya.

Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan penting antara Iran dan Oman dengan kelebaran sekitar 55 kilometer, selain menjadi antara laluan utama bagi perdagangan minyak dan gas dunia.

+ - reset