Berita Berita
Keluarga Tun Daim saman Anwar, KPN dakwaan komplot guling kerajaan
KUALA LUMPUR 6 Mac – Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid bersama dua anaknya memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada Jumaat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung siasatan dakwaan komplot menggulingkan kerajaan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia.
Na’imah, 69, bersama dua anaknya Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga, Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid selaku plaintif, menamakan Anwar sebagai defendan pertama, Mohd Khalid sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.
Menerusi saman tersebut, semua plaintif memohon perisytiharan bahawa siasatan yang dimulakan oleh defendan kedua dan ketiga di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah menyalahi undang-undang.
Mereka turut memohon perisytiharan bahawa tindakan berkenaan tidak berperlembagaan, dibuat dengan niat jahat, mempunyai tujuan tersembunyi serta merupakan penyalahgunaan kuasa statutori.
Selain itu, plaintif turut memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang melarang aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, sebagai tidak berperlembagaan.
Menurut mereka, peruntukan itu perlu dibatalkan dan dianggap tidak sah kerana didakwa samar, terlalu luas serta tidak seimbang dari segi skop pelaksanaannya.
Plaintif juga berhujah bahawa peruntukan tersebut melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan diri, Perkara 8 mengenai kesamarataan di sisi undang-undang serta Perkara 10 yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
“Kami memohon perisytiharan bahawa tindakan defendan kedua dan ketiga memulakan siasatan telah melanggar kebebasan asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan,” menurut saman itu.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili plaintif berkata, saman tersebut difailkan demi kepentingan awam serta bagi mencabar penyalahgunaan kuasa.
Menurut mereka, tindakan itu juga bertujuan menghentikan dakwaan palsu berhubung kononnya wujud ‘komplot Zionis’ untuk menjatuhkan kerajaan.
Sebelum ini, Na’imah menafikan terlibat dalam sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa pihak tertentu.
Beliau menegaskan tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah bersifat melucukan dan tidak masuk akal.
Na’imah turut menyifatkan cubaan mengaitkan dirinya dengan pendedahan laporan media antarabangsa, Bloomberg yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tidak bertanggungjawab serta menghina kredibiliti pengamal media.
Minggu lalu, laporan polis yang tersebar di media sosial mendakwa ahli keluarga berpengaruh itu melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan terhadap SPRM dan Perdana Menteri melalui media antarabangsa.
Media sebelum ini turut melaporkan bahawa lima individu termasuk empat anak Daim serta seorang tokoh yang digelar sebagai ‘individu berpengaruh’ didakwa terlibat dalam plot menjatuhkan kerajaan.
Dakwaan itu timbul selepas polis mengesahkan siasatan melibatkan sebuah agensi media antarabangsa dan individu berpengaruh, susulan laporan Bloomberg mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam SPRM yang mencetuskan reaksi politik besar.
Dalam masa sama, SPRM memaklumkan bahawa empat anak Allahyarham Tun Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin sedang dijejak bagi membantu siasatan berprofil tinggi yang sedang dijalankan.
Berita berkaitan
March 6, 2026, 9:14 pm
'Azam Baki perlu letak jawatan segera' - BERSIH
March 6, 2026, 8:34 pm
PKR saman 16 bekas wakil rakyat, tuntut RM10 juta setiap seorang
March 6, 2026, 5:33 pm
Ibu remaja pandu Honda Jazz hingga ragut 3 nyawa didenda RM1,500
March 6, 2026, 5:19 pm
Harga RON95 masih terkawal walaupun konflik Asia Barat – Anwar
March 6, 2026, 4:51 pm
Kerajaan buat rombakan besar pengurusan tertinggi perkhidmatan awam
March 6, 2026, 4:43 pm
Polis buru dua suspek samun bersenjata parang di Shah Alam
March 6, 2026, 3:20 pm
