TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru dua suspek samun bersenjata parang di Shah Alam

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

SHAH ALAM 6 Mac – Seorang pemuda berusia 20-an menempuh detik cemas apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang di kediamannya di sebuah pangsapuri di Seksyen 13, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 petang ketika mangsa sedang berada seorang diri di rumah.

Dua suspek yang tidak dikenali menceroboh masuk dan salah seorang daripadanya bertindak mengacukan sebilah parang ke arah mangsa.

Suspek dilaporkan melarikan pelbagai barangan peribadi termasuk dompet berisi wang tunai, komputer riba, telefon bimbit, serta kunci rumah dan kereta milik mangsa.

"Tidak cukup dengan itu, suspek bertindak memaksa mangsa menaiki kenderaannya sendiri ke sebuah mesin ATM berdekatan untuk mengeluarkan lagi wang simpanan milik mangsa," jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, tindakan berani mangsa yang menyedari kehadiran orang awam ketika sedang mengeluarkan wang di mesin ATM telah menyelamatkan keadaan.

Mangsa menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa.

Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap kedua-dua suspek yang terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun berkawan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Muhammad Naqiuddin Bin Nawawi di talian 012-3848103 bagi membantu siasatan lanjut.

+ - reset