TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu remaja pandu Honda Jazz hingga ragut 3 nyawa didenda RM1,500

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 6 Mac - Seorang ibu tunggal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan seorang remaja memandu kereta miliknya tanpa lesen sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut tiga nyawa tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah terhadap tertuduh, Nur Farahidayah A Rahman, 41, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan yang dibacakan di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan seorang remaja memandu kenderaan tersebut tanpa lesen memandu yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, di sini pada 6 Mac 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam bela, Johan Radzi memohon hukuman denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai enam orang anak dengan empat daripadanya masih bersekolah.

Tambahnya, tertuduh juga menjadi tulang belakang keluarga dengan mencari rezeki dalam bidang penyediaan makanan dan minuman (F&B) selain menjaga kedua ibu bapanya.

"Pengakuan salah OKS telah menjimatkan masa mahkamah dan ini adalah kesalahan pertamanya. Dia juga memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kes yang mengakibatkan kematian tiga individu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hari ini genap setahun kejadian membabitkan seorang pemandu remaja lelaki yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal yang datang dari arah kiri.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16.

Seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar pada 10 Mac tahun lalu.

Pada 17 Disember lalu, remaja lelaki bawah umur yang dituduh memandu Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kematian dalam kejadian tersebut menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Majistret Seremban.

Terdahulu pada 22 April 2025, remaja itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Dia dijadualkan dijatuhi hukuman pada Mei depan sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

+ - reset