TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan usaha kekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 9 Mac – Kerajaan akan terus berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak mentah dunia jenis Brent dilaporkan meningkat melepasi AS$100 setong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan harga minyak global memberi tekanan kepada banyak negara, namun Malaysia masih mampu mengekalkan harga bahan api pada kadar lebih rendah berbanding negara lain.

“Walaupun kita tahu ketimbang dengan negara-negara lain, keadaan kita masih terkawal. Harga minyak hari ini, harga Brent satu barel sudah naik AS$100,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan akan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kenaikan harga minyak dunia tidak membebankan rakyat.

“Kita masih bertahan dengan RM1.99 bagi RON95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat,” katanya.

Dalam dagangan hari ini, penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI), dilaporkan melonjak kira-kira 20 peratus kepada AS$109.17 setong, paras yang tidak dilihat sejak konflik Rusia dan Ukraine pada Februari 2022.

Sementara itu, kontrak penanda aras antarabangsa Brent Crude meningkat 19 peratus kepada AS$110.35 setong.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan lonjakan harga tersebut sebagai “harga kecil yang perlu dibayar” bagi menamatkan ancaman nuklear Iran, sambil menegaskan kenaikan itu hanya bersifat sementara.

+ - reset