Berita Berita
'Adakah suara kaum India dipinggirkan?' - DHPP persoal tiada seorang wakil India sebagai Ahli Penasihat DBKL
KUALA LUMPUR 9 Mac – Ketiadaan wakil daripada masyarakat India dalam pelantikan 11 Ahli Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026 menimbulkan kebimbangan dan persoalan berhubung aspek keterangkuman dalam pentadbiran bandar raya itu.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Wilayah Persekutuan, Ts. Dr. Subash Chandrabose M. Arumugam berkata pelantikan yang diumumkan baru-baru ini dilihat tidak melibatkan langsung wakil daripada komuniti India di ibu negara.
Menurut beliau, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang terbina atas kepelbagaian kaum dan budaya dengan struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Melayu, Cina, India serta komuniti lain yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan keharmonian bandar tersebut.
Katanya, dalam konteks pentadbiran bandar, representasi daripada pelbagai kaum amat penting bagi memastikan setiap isu masyarakat dapat difahami, dinilai dan ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata bagi komuniti India khususnya, kehadiran sekurang-kurangnya seorang wakil dalam barisan Ahli Penasihat DBKL adalah signifikan bagi menyuarakan serta memahami isu berkaitan kebajikan, pembangunan komuniti dan keperluan setempat.
“Amalan sebelum ini lazimnya memastikan adanya wakil daripada pelbagai kaum bagi mengekalkan keseimbangan dan keadilan dalam proses konsultasi serta nasihat kepada pihak DBKL.
“Oleh itu, ketiadaan wakil masyarakat India dalam pelantikan kali ini menimbulkan persoalan serta kekecewaan dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan terlepas pandang kepentingan kebajikan serta suara masyarakat India di ibu negara dalam pelantikan berkenaan.
Subash berkata pihaknya berharap kementerian berkenaan dapat meneliti semula perkara tersebut dan mempertimbangkan pelantikan wakil daripada masyarakat India.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan prinsip keterangkuman, keseimbangan dan keadilan dalam pentadbiran bandar raya Kuala Lumpur terus terpelihara.
“Kuala Lumpur adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh itu, suara setiap komuniti harus diberi ruang dalam proses membuat keputusan demi pembangunan bandar raya yang inklusif dan sejahtera,” katanya.
Berita berkaitan
March 9, 2026, 5:23 pm
JKNK siasat sama ada tekanan kerja, buli punca kematian doktor pelatih di HSIP
March 9, 2026, 5:01 pm
Gunaraj gesa polis siasat video individu pijak Trisul, simbol suci agama Hindu
March 9, 2026, 3:38 pm
Kurikulum 2027 buka peluang pelajar arus perdana belajar bahasa isyarat
March 9, 2026, 2:39 pm
Kerajaan mampu kekalkan harga RON95 RM1.99 sekurang-kurangnya dua bulan lagi - Amir Hamzah
March 9, 2026, 2:18 pm
MCMC tiada kuasa arah platform media sosial turunkan hantaran – Teo Nie Ching
March 9, 2026, 1:55 pm
Gaji penjawat awam diawalkan 13 Mac, bantu persiapan awal sambut Aidilfitri
March 9, 2026, 1:09 pm
Tarikh lihat anak bulan Syawal ditetapkan 19 Mac, Khamis
March 9, 2026, 11:33 am
Muhyiddin Yassin guna jawatan tarik jutaan ringgit kepada Bersatu - Pendakwaan
March 9, 2026, 11:10 am
