Berita Berita
Gunaraj gesa polis siasat video individu pijak Trisul, simbol suci agama Hindu
KUALA LUMPUR 9 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular yang didakwa memaparkan seorang individu memijak Trisul, iaitu simbol suci dalam agama Hindu.
Beliau berkata tindakan tersebut amat menyinggung perasaan penganut agama Hindu dan boleh menjejaskan keharmonian antara kaum serta agama di negara ini.
Menurutnya, Malaysia dibina atas asas saling menghormati antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, justeru sebarang perbuatan yang menghina, memprovokasi atau menimbulkan ketegangan antara komuniti tidak sepatutnya berlaku.
“Sebarang tindakan yang menghina atau mengganggu kepercayaan sesuatu komuniti agama perlu dipandang serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gunaraj berkata walaupun mungkin terdapat isu berkaitan rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang bukan milik komuniti berkenaan, perkara itu perlu ditangani melalui saluran undang-undang yang betul.
Beliau menjelaskan bahawa undang-undang serta prosedur sedia ada yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperincikan kaedah pengurusan rumah ibadat yang tidak mempunyai kebenaran.
Menurutnya, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, sebarang pemindahan atau perobohan rumah ibadat perlu dilaksanakan melalui proses libat urus dengan jawatankuasa rumah ibadat berkenaan atau organisasi Hindu Malaysia yang diiktiraf.
“Tindakan sedemikian tidak boleh dilakukan oleh mana-mana individu atas kapasiti sendiri,” katanya.
Beliau berkata sekiranya terdapat aduan mengenai rumah ibadat yang dibina di atas tanah milik pihak lain, langkah yang sewajarnya ialah dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Pejabat Tanah atau pihak berkuasa tempatan.
Tambahnya, kerajaan juga menyediakan platform khusus seperti Jawatankuasa Khas Menangani Isu Rumah Ibadat Bukan Islam (LIMAS) bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara teratur dan berhemah.
Gunaraj turut menegaskan bahawa prinsip Rukun Negara khususnya Kepercayaan Kepada Tuhan menyeru semua rakyat Malaysia supaya menghormati kepercayaan agama masing-masing.
Beliau berkata sebelum ini pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu yang menghina kitab suci al-Quran dan dalam semangat keadilan, tindakan sewajarnya juga perlu diambil terhadap individu yang memijak serta merosakkan Trisul.
Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Pada masa sama, Gunaraj turut menggesa orang ramai supaya bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk mengendalikan perkara tersebut mengikut proses undang-undang.
“Rasa hormat, dialog serta pematuhan kepada kedaulatan undang-undang perlu sentiasa menjadi panduan dalam memelihara keharmonian negara yang berbilang agama dan budaya,” katanya.
Berita berkaitan
March 9, 2026, 5:23 pm
JKNK siasat sama ada tekanan kerja, buli punca kematian doktor pelatih di HSIP
March 9, 2026, 3:38 pm
Kurikulum 2027 buka peluang pelajar arus perdana belajar bahasa isyarat
March 9, 2026, 2:39 pm
Kerajaan mampu kekalkan harga RON95 RM1.99 sekurang-kurangnya dua bulan lagi - Amir Hamzah
March 9, 2026, 2:18 pm
MCMC tiada kuasa arah platform media sosial turunkan hantaran – Teo Nie Ching
March 9, 2026, 1:55 pm
Gaji penjawat awam diawalkan 13 Mac, bantu persiapan awal sambut Aidilfitri
March 9, 2026, 1:09 pm
Tarikh lihat anak bulan Syawal ditetapkan 19 Mac, Khamis
March 9, 2026, 11:33 am
Muhyiddin Yassin guna jawatan tarik jutaan ringgit kepada Bersatu - Pendakwaan
March 9, 2026, 11:10 am
