TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kurikulum 2027 buka peluang pelajar arus perdana belajar bahasa isyarat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Mac – Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP 2027) dijangka membuka peluang lebih luas kepada pelajar arus perdana untuk mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sebagai bahasa tambahan, sekali gus memperkukuh amalan keterangkuman di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata inisiatif itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut beliau, langkah tersebut melengkapi usaha Kementerian Pendidikan (KPM) yang sejak 2011 menyediakan mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) serta Pendidikan Asas Individu Ketidakupayaan Penglihatan (PAIKUP) di sekolah rendah menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).

Beliau berkata pelaksanaan mata pelajaran berkenaan melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membolehkan murid OKU dan pelajar arus perdana belajar bersama secara lebih inklusif, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

“Penyertaan murid arus perdana dapat meningkatkan pemahaman dan toleransi terhadap golongan OKU,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Menurut Wong, KP 2027 bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar arus perdana di sekolah yang mempunyai kelas PPKI untuk mempelajari BIM, malah turut menggalakkan pembudayaan sekolah inklusif yang menyokong integrasi sosial sejak peringkat awal.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperluas pelbagai inisiatif bagi membantu kanak-kanak OKU daripada keluarga miskin, termasuk dalam aspek kebajikan dan pendidikan sehingga mereka mencapai usia dewasa.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha kerajaan memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu bantuan kebajikan dan sokongan kewangan, pendidikan inklusif dan pendidikan khas, pemulihan serta intervensi awal, latihan kemahiran dan kebolehkerjaan serta dasar dan perlindungan undang-undang.

“Kami ingin memastikan setiap anak OKU daripada keluarga miskin tidak terpinggir daripada peluang pembangunan dan pendidikan sejak kecil hingga dewasa,” katanya.

Dalam aspek kebajikan, Nancy berkata KPWKM menyediakan beberapa skim bantuan termasuk Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Am Persekutuan, Bantuan Anak Pelihara serta Bantuan Alat Tiruan.

Bagi golongan OKU yang tidak berupaya bekerja, bantuan bulanan menerusi Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja turut disediakan bagi membantu menyokong kehidupan mereka apabila dewasa.

Beliau berkata kerajaan turut menekankan pelaksanaan pendidikan inklusif melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) selain menyediakan geran kepada TASKA OKU bagi program intervensi awal.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pelajar OKU belajar bersama murid tipikal sekali gus membantu mereka membina kemahiran sosial sejak peringkat awal.

Dalam aspek pemulihan pula, Nancy berkata intervensi awal dilaksanakan menerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menyediakan latihan kemahiran asas serta aktiviti sosialisasi kepada pelatih.

Katanya, pelatih di PDK turut menerima elaun sebanyak RM300 sebulan sebagai sokongan kepada mereka.

Beliau menambah bahawa pemegang kad OKU turut menikmati pelbagai kemudahan termasuk dalam bidang pendidikan, pengecualian kos perubatan serta kemudahan pengangkutan.

Bagi remaja OKU pula, latihan vokasional yang disediakan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi membantu mereka memperoleh sijil serta kemahiran praktikal.

Selain itu, Elaun Pekerja OKU turut disediakan sebagai galakan kepada golongan berkenaan untuk berdikari.

“Semua inisiatif ini berpandukan Dasar OKU Negara dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memastikan golongan OKU mendapat akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perlindungan kebajikan serta penyertaan dalam masyarakat.

“Melalui intervensi awal dan jaringan keselamatan sosial yang inklusif, kita menyediakan jambatan kepada anak OKU untuk melangkah ke alam dewasa dengan lebih yakin,” katanya.

+ - reset