TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan mampu kekalkan harga RON95 RM1.99 sekurang-kurangnya dua bulan lagi - Amir Hamzah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan mempunyai keupayaan untuk mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 pada paras RM1.99 sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan lagi meskipun harga minyak dunia menunjukkan peningkatan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan masih mempunyai kapasiti untuk menampung subsidi bagi memastikan harga bahan api itu kekal pada kadar semasa buat sementara waktu.

“Kita akan terus mencuba dan menahan harga RON95 pada RM1.99 kerana kita mempunyai kapasiti untuk bertahan buat masa ini. Bagaimanapun, bagi harga minyak di pasaran terbuka, ia akan mencerminkan harga semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan ASEAN Ke-2 2026 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Menurut Amir Hamzah, Malaysia berada dalam kedudukan yang stabil untuk menguruskan peningkatan harga tenaga di peringkat global.

Katanya, kedudukan itu dipengaruhi oleh status Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih yang membolehkan peningkatan hasil petroleum membantu mengimbangi kenaikan kos subsidi bahan api.

“Malaysia merupakan pengeksport tenaga bersih, justeru kenaikan harga minyak turut memberi limpahan positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan minyak dan gas negara kekal mencukupi dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga.

Tambahnya, dari segi bekalan tenaga, Malaysia ketika ini berada dalam keadaan yang baik dan tidak berdepan sebarang gangguan bekalan.

+ - reset