Berita Jenayah
Tidak puas hati jadi punca rumah Cikgu Chandra diserang
SHAH ALAM 16 Mac – Rasa tidak puas hati serta perasaan terguris dipercayai menjadi motif insiden khianat dan ugutan jenayah terhadap aktivis, S. Chandrasegaran, 47, di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan setakat ini mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang elemen kongsi gelap.
Menurutnya, polis menahan 12 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun menerusi beberapa serbuan bermula 12 Mac hingga semalam di sekitar Banting, Subang dan Serdang.
Katanya, tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
“Daripada jumlah itu, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati insiden ini dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selain perasaan terguris terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan individu yang dipercayai menjadi dalang utama kejadian, manakala wanita yang ditahan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.
Menurutnya, semakan mendapati lima daripada tujuh suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.
“Lima suspek termasuk wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan mengikut Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam operasi sama, polis merampas tiga kereta iaitu Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera serta dua motosikal Honda Wave dan Yamaha Y16 yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Tambahnya, polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang pada 10 Mac lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.
Suspek kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva milik mangsa serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Dalam kejadian berasingan kira-kira pukul 3.20 pagi keesokan harinya, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah mangsa sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.
Tindakan itu menyebabkan sebuah kereta Suzuki Ertiga milik mangsa musnah sepenuhnya manakala dua lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran.
Berita berkaitan
March 16, 2026, 1:11 pm
Bayi mati di taska: Dua pengasuh beraya dalam lokap, reman dilanjut tujuh hari lagi
March 9, 2026, 11:49 pm
Lelaki dipercayai berhalusinasi tikam leher anak tiga kali di Kampar
March 5, 2026, 1:34 pm
Dua suspek lepaskan tembakan cedera dirempuh kenderaan di Taman Seri Kapar
March 2, 2026, 2:44 pm
'Pak guard' mengaku salah amang seksual, rogol dan liwat anak kandung usia 6 tahun
February 27, 2026, 11:16 am
Polis siasat dakwaan individu berpengaruh cuba sabotaj kestabilan negara
February 26, 2026, 5:21 pm
Polis buru suspek curi motosikal di Residensi Adelia, Bangi
February 24, 2026, 12:28 pm
Lima lelaki ditahan kes rusuh bersenjata di PPR Pinggiran Bukit Jalil
February 24, 2026, 9:11 am
