TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Kanak-kanak dua tahun didera bapa tiri, suspek dicekup depan hospital

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 14 Jun – Pihak polis berjaya menahan seorang bapa tiri berusia 24 tahun yang disyaki mendera anak tirinya yang baru berusia dua tahun 11 bulan, dalam satu tangkapan di hadapan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman memaklumkan suspek ditahan pada jam 10.55 malam ketika berada di dalam sebuah kereta bersama isterinya, yang juga merupakan ibu kandung kepada mangsa.

Tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita pada jam 8.30 malam berkaitan kecederaan fizikal yang dialami oleh anak kecil berkenaan.

Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian penderaan terbaharu berlaku di dalam sebuah kenderaan ketika mereka tiga beranak berada di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu. Selain itu, mangsa juga dikesan kerap dipukul oleh suspek ketika berada di kediaman keluarga terbabit yang terletak di Jalan Rasah.

Hasil pemeriksaan fizikal mendapati tubuh badan mangsa dipenuhi dengan kesan lebam kemerahan, sama ada di bahagian hadapan mahupun belakang badan, yang dipercayai akibat dicubit. Mangsa kini telah dimasukkan ke wad HTJ untuk menerima rawatan lanjut serta pemantauan daripada pegawai perubatan.

Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan keputusan negatif dadah. Siasatan turut mendedahkan bahawa suspek dan ibu mangsa baru sahaja mendirikan rumah tangga pada April lalu.

Mahkamah Majistret Seremban telah membenarkan permohonan reman ke atas suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 Jun depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berkaitan kes ini untuk menyalurkannya terus kepada Bilik Gerakan IPD Seremban di talian 06-6033222. 

+ - reset