TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadangan WFH penjawat awam tidak libat sektor pendidikan, kesihatan buat masa ini

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 17 Mac – Cadangan membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah (BDR) bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kerajaan susulan konflik Asia Barat tidak akan melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan buat masa ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua sektor itu dikecualikan kerana berperanan sebagai barisan hadapan.

“(Cadangan bekerja dari rumah) waktu ini tidak membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan.

“Dua sektor ini bersifat ‘frontline’ (barisan hadapan),” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada cadangan BDR itu turut melibatkan sektor berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan Jemaah Menteri telah menerima laporan awal berkaitan cadangan BDR daripada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurutnya, Perdana Menteri meminta supaya cadangan itu diperincikan sebelum dibentangkan untuk keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

“Keutamaan ketika ini adalah melibatkan sektor bukan kritikal dan Perdana Menteri mahu pembentangan lebih menyeluruh dibuat dalam mesyuarat MTEN akan datang,” katanya.

Mengulas sama ada langkah itu akan diperluaskan kepada sektor swasta, beliau berkata terdapat syarikat yang telah melaksanakan BDR sejak pandemik lalu.

“Bagi kerajaan, memandangkan jumlah penjawat awam yang besar, penyelarasan perlu dibuat di peringkat itu terlebih dahulu.

“Namun, sektor swasta tidak dihalang untuk melaksanakannya jika dirasakan perlu,” katanya.

+ - reset