TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ‘naik minyak’ tetak rakan sekerja selepas ditegur nasi belum masak

By
|
Kongsi
image

 

TAWAU 17 Mac – Hanya kerana ditegur mengenai nasi yang belum dimasak, seorang lelaki berusia 21 tahun bertindak di luar kawalan dengan menetak rakan sekerjanya menggunakan pisau pemotong ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa mengalami kecederaan pada tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau dan menerima 10 jahitan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, insiden berlaku ketika kedua-dua mereka sedang bekerja apabila mangsa menegur suspek berhubung nasi yang masih belum dimasak.

Menurutnya, suspek dipercayai berang dengan teguran itu sebelum gagal mengawal emosi dan menyerang mangsa secara tiba-tiba.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebelum tampil membuat laporan kira-kira jam 9.31 malam pada hari kejadian.

“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 7 malam semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berhampiran sebuah restoran di Jalan Habib Hussein,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter serta sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

+ - reset