TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buru lelaki belasah isteri, langgar kepala guna motosikal hingga cedera

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 17 Mac – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertindak kejam terhadap isterinya dengan memukul mangsa di tempat awam sebelum melanggar kepala wanita itu menggunakan motosikal dalam kejadian di Kota Shahbandar, awal pagi Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu tular selepas rakaman video berdurasi 56 saat tersebar di media sosial, memaparkan suspek berusia 22 tahun bertindak agresif terhadap isterinya yang berusia 20 tahun.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang bekerja sebagai penghantar barang turut dilihat menampar serta menarik rambut mangsa.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 51 tahun selepas wanita itu melihat rakaman kejadian di sebuah premis hiburan keluarga.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Melaka pada jam 4.41 pagi oleh ambulans untuk menerima rawatan di zon merah akibat kecederaan yang dialami.

“Mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan.

“Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah ibunya di Tanjung Minyak Perdana,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata pada hari sama kira-kira jam 8 malam, mangsa didapati tiada di rumah selepas dipercayai keluar bersama anak lelakinya berusia dua tahun mengikut suspek.

“Ibu mangsa turut mendapati pintu belakang rumah telah dibuka secara paksa dan usaha menghubungi mangsa gagal.

“Laporan polis dibuat kerana bimbang terhadap keselamatan mangsa dan anaknya,” katanya.

Tambah beliau, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga.

+ - reset