TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota JPJ bantu tumpangkan keluarga kecil termasuk 3 budak redah hujan lebat raih pujian netizen

By
|
Kongsi
image

 

HULU SELANGOR 23 Mac – Tindakan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membantu sebuah keluarga kecil yang berdepan kesukaran ketika hujan lebat di Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, baru-baru ini, wajar dipuji.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang Khamis lalu ketika anggota dari Stesen Penguatkuasa (SPK) Kalumpang itu sedang menjalankan rondaan Op Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, ketika melalui Kilometer 440 dalam keadaan hujan lebat serta jarak penglihatan terhad, anggota berkenaan terserempak dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama isterinya dan tiga anak kecil.

“Keluarga terbabit dilihat menempuh perjalanan dalam keadaan mencabar tanpa perlindungan mencukupi, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan.

“Menyedari situasi itu, anggota JPJ bertindak memberhentikan kenderaan rondaan di bahu jalan bagi memeriksa keadaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, hasil perbualan mendapati keluarga itu dalam perjalanan membeli kelengkapan Aidilfitri, namun terpaksa meneruskan perjalanan walaupun hujan lebat kerana kekangan pengangkutan.

“Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab sebagai penjawat awam, anggota terbabit mengambil inisiatif memberikan bantuan.

“Isteri dan tiga anak kecil dipelawa menaiki kenderaan rondaan JPJ bagi memastikan keselamatan mereka, manakala suami meneruskan perjalanan dengan motosikal secara berhati-hati,” katanya.

Menurut Azrin, anggota berkenaan kemudian menghantar wanita bersama anak-anaknya ke destinasi dengan selamat.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan, malah menyerlahkan peranan agensi penguatkuasaan dalam membantu masyarakat, khususnya ketika musim perayaan.

“Peristiwa ini menjadi contoh bagaimana semangat prihatin dan tanggungjawab sosial mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

“Di sebalik tugas penguatkuasaan, anggota JPJ sentiasa bersedia menghulurkan bantuan demi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna jalan raya terpelihara,” katanya.

+ - reset