TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekalan bahan api negara mencukupi, orang ramai diminta elak pembelian panik

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara sehingga kini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bekalan semasa bukan sahaja mencukupi malah situasi di negara ini lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.

Beliau berkata, dakwaan kekurangan bahan api yang tular hanyalah isu terpencil berpunca daripada faktor logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya sepanjang musim perayaan.

“Perkara ini sudah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menjelaskan khabar angin berkaitan dakwaan ketidakcukupan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di Sabah yang dikaitkan dengan situasi di negara jiran.

Beliau turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) telah diaktifkan bagi memperkukuh penguatkuasaan, khususnya di kawasan sempadan termasuk Sabah.

Menurutnya, risiko ketirisan meningkat susulan konflik di Asia Barat serta jurang harga yang ketara antara bahan api bersubsidi dalam negara dan harga pasaran di negara jiran.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang penjualan atau pengisian bahan api selain ke dalam tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan, manakala pengusaha stesen minyak perlu sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, krisis di Asia Barat dilaporkan memberi kesan kepada bekalan tenaga global, dengan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia berdepan risiko susulan kebergantungan kepada import minyak mentah dari Teluk Parsi.

+ - reset