TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal baling mercun diburu polis

By
|
Kongsi
image

SEGAMAT 24 Mac – Polis melancarkan operasi memburu seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dengan menyalakan dan membaling mercun ketika menunggang sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 15 saat yang tersebar luas di WhatsApp dan TikTok itu memaparkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ melakukan aksi berkelajuan tinggi sambil memegang mercun yang telah dinyalakan.

Percikan api kelihatan daripada tangan penunggang sebelum bahan letupan itu dibaling ke atas jalan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain di belakangnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M. Nantha mengesahkan kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 185 Jalan Johor Bahru–Seremban kira-kira pukul 10.30 malam Ahad lalu.

“Polis memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab ini yang jelas membahayakan keselamatan jalan raya dan ketenteraman awam. Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti serta mengesan suspek bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Aksi tersebut menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang menggesa tindakan tegas dikenakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang demi meraih perhatian di media sosial.

Nantha turut memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya dan membahayakan nyawa orang lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penunggang atau nombor pendaftaran kenderaan diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9325811 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

+ - reset