Berita Politik
MIC kekal bersama BN buat masa ini - Saravanan
KUALA LUMPUR 25 Mac – Malaysian Indian Congress (MIC) akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) buat masa ini, kata Timbalan Presidennya, M. Saravanan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan parti itu mempertimbangkan untuk menyertai gabungan pembangkang pada masa hadapan.
“Kami kekal bersama BN buat masa ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Ketika ditanya sama ada kenyataan itu bermaksud MIC menolak Perikatan Nasional (PN), Saravanan menjelaskan: “Tidak, saya tidak mengatakan begitu.”
Menurut beliau, perkembangan terkini dalam PN memerlukan MIC menilai semula kedudukannya, khususnya selepas perubahan kepimpinan dalam gabungan berkenaan.
“PN telah melalui beberapa perubahan. Ia dahulu dipimpin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika kami membuat pertanyaan. Kini ia dipimpin oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
“Kami bukan sahaja perlu mendapatkan pandangan akar umbi, tetapi juga mesti memahami sentimen masyarakat India sekiranya mahu menyertai gabungan yang diterajui PAS,” katanya.
Saravanan menegaskan MIC tidak menolak PN secara mutlak, sambil memaklumkan bahawa perbincangan sebelum ini berlaku ketika kepimpinan gabungan itu berbeza.
Kenyataan tersebut dibuat seminggu selepas beliau menafikan dakwaan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, bahawa MIC telah secara rasmi menyertai gabungan berkenaan.
Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan BN telah lama timbul, khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November lalu apabila perwakilan memberi mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut.
Situasi itu juga dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap peranan serta relevan parti dalam landskap politik semasa.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 10:06 am
PH sasar sekurang-kurangnya 19 kerusi pada PRN Negeri Sembilan
July 31, 2026, 9:57 am
Aminuddin gesa calon PH bermunajat, mohon petunjuk jelang hari pengundian PRN
July 29, 2026, 11:15 am
Ramalan pilihan raya tidak bererti, pengundi penentu sebenar PRN Negeri Sembilan - Fahmi Fadzil
July 26, 2026, 4:17 pm
'Amaran Zahid tak dipeduli' – Chong Zhemin dakwa PAS sebenarnya kuasai BN-PN
July 26, 2026, 4:12 pm
Belum ada perbincangan berkaitan PRU – Zahid
July 26, 2026, 9:39 am
PRN Negeri Sembilan: Zahid tepis dakwaan Muhyiddin, yakin keserasian BN-PN kekal utuh
July 25, 2026, 8:39 pm
PRN Negeri Sembilan: RCI Tabung Haji tidak wajar jadi modal kempen
July 25, 2026, 8:36 pm
PRN Negeri Sembilan: Mohamad Hasan jangka PRU lebih awal
July 25, 2026, 3:18 pm
PRN Negeri Sembilan: Zahid yakin manifesto BN mampu pacu ekonomi negeri
July 25, 2026, 3:14 pm
