TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kerajaan akan mengekalkan bantuan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada kadar RM300 sebulan bagi bulan April ini bagi membantu mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bantuan interim tambahan sebanyak RM100 akan diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan untuk kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kekal RM300.

Bayaran tersebut akan mula disalurkan pada 8 April depan yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 340,000 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM102 juta.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api global.

"Langkah ini memastikan pengguna diesel, khususnya individu dan mereka dalam sektor agri-komoditi, terus menerima sokongan dan terlindung daripada kesan penuh kenaikan harga global," menurut kenyataan itu.

Sejak diperkenalkan pada Mei 2024, program Budi Diesel telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.12 bilion bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa pendekatan bersasar ini memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sambil mengekalkan disiplin fiskal negara.

Selain bantuan interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan memberi manfaat terus kepada rakyat.

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran tenaga global dengan teliti dan bersedia mengambil tindakan lanjut bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan mencukupi.

"Penguatkuasaan juga akan diperkasakan bagi mengekang ketirisan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar yang ditetapkan," tambahnya lagi.

Individu yang layak boleh memohon bantuan Budi Diesel sepanjang tahun melalui laman web rasmi di https://budidiesel.gov.my.

+ - reset