TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Berang mangsa 'buat pekak', kumpulan bersenjata serang lelaki di kedai makan Kapar

By
|
Kongsi
image

KLANG 31 Mac - Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan individu bersenjata tajam hanya kerana dipercayai tidak melayan atau "buat pekak" terhadap kata-kata kumpulan berkenaan dalam satu kejadian di sebuah kedai makan di Kapar, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, insiden berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa sedang menjamu selera bersama dua rakan sebelum didatangi empat lelaki yang cuba mencetuskan provokasi.

Menurut beliau, perselisihan faham bermula apabila mangsa dikatakan sengaja tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh kumpulan suspek tersebut sehingga mencetuskan kemarahan melampau mereka.

"Salah seorang suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan menghayunkannya ke arah rakan pengadu, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan dada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum melarikan diri, kumpulan suspek turut mengeluarkan ugutan jenayah untuk menembak pengadu dalam masa terdekat.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Susulan laporan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan secara berasingan pada hari kejadian dan Selasa. Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

"Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah," ujar Vijaya Rao.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-5825382 bagi membantu siasatan lanjut.

+ - reset