TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Indonesia kekal harga petrol bagi April, beri jaminan bekalan cukup

By
|
Kongsi
image

JAKARTA 31 Mac - Kerajaan Indonesia mengesahkan harga bahan api bagi bulan April dikekalkan, selain memberi jaminan bekalan minyak adalah mencukupi di sebalik kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.

Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kerajaan dan syarikat minyak milik negara, Pertamina, selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto yang mengutamakan kepentingan rakyat.

"Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api adalah mencukupi dan harga akan kekal tidak berubah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di Indonesia, penyelarasan harga bahan api biasanya dilakukan pada setiap awal bulan, bergantung kepada perubahan harga minyak mentah dunia serta polisi subsidi kerajaan.

Sementara itu, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Sufmi Dasco Ahmad menggesa orang ramai supaya bertenang dan mengelakkan pembelian panik (panic buying).

"Orang awam tidak perlu beratur panjang atau menyorok bekalan minyak secara berlebihan. Stok sedia ada adalah mencukupi dan kerajaan fokus sepenuhnya dalam mengekalkan kestabilan bekalan serta harga," jelas beliau.

Beliau berharap penjelasan tersebut dapat memberikan maklumat tepat kepada masyarakat sekali gus mengelakkan penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga minyak.

Sufmi turut menambah bahawa kerajaan akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi.

Untuk rekod, bahan api bersubsidi jenis Pertalite (RON 90) di Indonesia dijual pada harga tetap Rp10,000 (kira-kira RM2.98) seliter, manakala diesel bersubsidi (Biosolar) dihadkan pada Rp6,800 (kira-kira RM2.03) seliter dengan kos perbezaan ditanggung kerajaan.

Bagi bahan api tidak bersubsidi pula, harganya ditentukan mengikut mekanisme pasaran dengan Pertamax (RON 92) berada pada paras RM12,300 (RM3.67) seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) sekitar Rp13,100 (RM3.91) seliter bagi bulan Mac.

+ - reset