TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Yayasan Kubra menang di mahkamah, perintah siasatan kuil di Rawang dibatalkan

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 31 Mac – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Yayasan Kubra untuk mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang berhubung siasatan terhadap sebuah kuil tidak dikawal selia di Rawang.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Selayang mengarahkan siasatan dijalankan susulan aduan berkaitan pertikaian tanah serta kemungkinan pelanggaran keamanan melibatkan lokasi berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, yayasan diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, manakala responden, Sri Uchimalai Muniswaraman Devotees Association diwakili Rajesh Nagarajan.

"Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan oleh itu, keputusan Mahkamah Majistret Selayang diketepikan.

"Jika mana-mana pihak tidak berpuas hati, sila failkan rayuan dan mahkamah akan memberikan alasan penghakiman," katanya.

Pada 13 Mac lalu, Majistret Chai Guan Hock mengarahkan kedua-dua pihak hadir ke mahkamah bagi siasatan di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah serta mengemukakan kenyataan bertulis berhubung pemilikan tanah yang dipertikaikan.

Selepas prosiding, Rajesh menyatakan pihaknya menghormati keputusan mahkamah walaupun berasa kecewa.

"Saya sudah diarahkan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan (CoA) dengan segera dan ia akan dilakukan hari ini," katanya.

Beliau berkata sebahagian besar struktur kuil telah dirobohkan, namun masih terdapat elemen asas termasuk patung dewa dan plat tembaga yang mengandungi kitab suci tertanam di tapak berkenaan.

"Masih terdapat beberapa patung dewa Hindu dan di bahagian asas, plat tembaga yang mengandungi kitab suci tertanam dalam asas berkenaan.

"Ini hanya boleh dikeluarkan selepas upacara yang sewajarnya dijalankan.

"Jadi, pada pandangan penganut, kuil itu masih wujud," katanya.

Tambah beliau, selagi rayuan belum diputuskan, kawasan tersebut tidak seharusnya diganggu oleh mana-mana pihak.

"Sehingga rayuan diputuskan, tanah mahupun kuil itu tidak seharusnya diganggu oleh mana-mana pihak sehingga pertikaian diselesaikan oleh mahkamah rayuan.

"Jika rayuan kami ditolak, kami akan mematuhi perintah mahkamah dan mengalihkan struktur yang masih berbaki dengan segera," katanya.

Sementara itu, Hariz berkata keputusan Mahkamah Tinggi itu bermakna siasatan yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret pada Mei tidak akan diteruskan.

"Perancangan untuk meneruskan pembinaan rumah 'asnaf' yang sudah lama tertangguh akan diteruskan.

"Sebagai pemilik tanah, kami tidak seharusnya dibebankan dengan kos guaman hanya untuk mendapatkan perintah pengusiran terhadap penceroboh. Tanggungjawab itu tidak sepatutnya dipikul oleh kami," katanya.

Beliau menambah, sebarang tuntutan lanjut berkaitan isu tersebut sepatutnya difailkan melalui saluran mahkamah sivil.

+ - reset