TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi 'view'

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 31 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan peringatan tegas kepada semua organisasi media agar mengamalkan pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif.

Peringatan itu merujuk kepada pelaporan membabitkan kes kemalangan, tragedi, dan insiden kehilangan nyawa yang sering kali dieksploitasi di platform digital.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyebaran imej atau video bersifat eksplisit yang memaparkan mangsa meninggal dunia adalah tindakan tidak sensitif serta tidak menghormati maruah mangsa dan perasaan ahli keluarga.

"Usaha mendapatkan tontonan (views) tidak boleh mengatasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Kandungan sedemikian dianggap tidak beretika dan tidak seharusnya dikongsi semata-mata untuk meningkatkan capaian dalam talian," menurut kenyataan itu.

Susulan itu, MCMC menegaskan bahawa kegagalan mematuhi garis panduan etika pelaporan boleh mengakibatkan tindakan pengawalseliaan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuklah penggantungan akaun media sosial berkaitan sekiranya didapati melanggar standard yang ditetapkan.

"Semua organisasi media perlu memastikan penyiaran kandungan dilakukan secara bertanggungjawab dan berhemah. Semua pihak diharap terus bertindak secara profesional serta menghormati sensitiviti masyarakat pada setiap masa," tambahnya lagi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha berterusan pihak berkuasa untuk membendung trend perkongsian kandungan 'ngeri' yang semakin berleluasa demi mengejar populariti di media sosial.

+ - reset