Berita Berita
Isu pemandu mabuk perlu pencegahan berkesan, bukan hukuman mati – Kasthuri
KUALA LUMPUR 31 Mac – Pendekatan berasaskan pencegahan dan penguatkuasaan menyeluruh perlu diberi keutamaan dalam menangani isu pemanduan mabuk, tanpa dipolemikkan mengikut garis kaum atau agama.
Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, insiden terbaharu membabitkan pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga meragut nyawa seorang lelaki tidak berdosa wajar dijadikan pengajaran serius kepada semua pihak.
Menurutnya, tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa, malah meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa yang kehilangan suami dan bapa.
“Ini bukan isu kaum atau agama, sebaliknya melibatkan aspek pencegahan, tanggungjawab bersama, hukuman lebih tegas dan penguatkuasaan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kasthuri tidak bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengesyorkan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Beliau berpendapat cadangan tersebut tidak menyelesaikan punca sebenar masalah selain tidak disokong bukti empirikal.
“Polisi awam perlu berasaskan data, standard antarabangsa dan amalan terbaik, bukan reaksi spontan,” katanya lagi.
Kasthuri berkata, walaupun hukuman lebih berat diperlukan, aspek penguatkuasaan, pendidikan awam dan langkah pencegahan harus diperkasa.
“Hukuman hanya berkesan selepas jenayah berlaku, tetapi pencegahan perlu diberi keutamaan sama, jika tidak lebih penting,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan Malaysia mencontohi pendekatan negara luar seperti penggunaan alat ‘alcohol interlock’ yang memerlukan pemandu lulus ujian pernafasan sebelum kenderaan boleh dihidupkan.
Selain itu, beliau mencadangkan pelaksanaan sekatan lesen serta kempen pemandu berhemah secara lebih meluas dengan kerjasama industri dan premis hiburan.
Kasthuri turut menggesa kerajaan merangka pelan nasional jangka panjang antara lima hingga 10 tahun melibatkan pelbagai pihak termasuk komuniti dan sektor swasta.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan sekatan jalan raya secara berkala tanpa notis serta penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa bagi meningkatkan integriti bukti.
Dalam masa sama, beliau mengkritik sikap segelintir pihak yang berkongsi lokasi sekatan jalan raya di media sosial kerana ia menjejaskan usaha penguatkuasaan.
“Ini bukan perang terhadap alkohol, tetapi terhadap pemandu tidak bertanggungjawab. Setiap nyawa yang terkorban adalah tragedi bersama,” katanya lagi.
Berita berkaitan
March 31, 2026, 10:41 pm
Yayasan Kubra menang di mahkamah, perintah siasatan kuil di Rawang dibatalkan
March 31, 2026, 8:33 pm
Berang ditegur 'bawa motor macam nak jatuh', lelaki amuk guna topi keledar di Jasin
March 31, 2026, 8:26 pm
Berang mangsa 'buat pekak', kumpulan bersenjata serang lelaki di kedai makan Kapar
March 31, 2026, 8:17 pm
Indonesia kekal harga petrol bagi April, beri jaminan bekalan cukup
March 31, 2026, 8:10 pm
Lebih 10,000 akaun palsu guna identiti YDPA, Raja Permaisuri dipadam
March 31, 2026, 7:58 pm
MCMC beri amaran keras, organisasi media dilarang siar kandungan tragis demi 'view'
March 31, 2026, 7:40 pm
Bantuan Budi Diesel kekal RM300 bulan April, mula dibayar 8 April ini
March 31, 2026, 7:28 pm
Iran bagi 'laluan percuma', kapal Malaysia tak payah bayar tol di Selat Hormuz
March 31, 2026, 4:51 pm
