TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beri alasan hantar 'check-in' inap desa, lelaki berstatus suami orang ditahan berkhalwat

By
|
Kongsi
image

PONTIAN 1 April - Taktik seorang lelaki berstatus suami orang memberi alasan hanya menghantar seorang wanita ke sebuah inap desa (homestay) gagal apabila kedua-duanya ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan berusia 30-an tersebut ditangkap di sebuah rumah batu setingkat di daerah ini hasil aduan orang awam melalui panggilan telefon.

Jurucakap JAINJ memaklumkan, pihaknya terpaksa menunggu hampir sejam dan akhirnya memotong mangga gril pintu hadapan selepas penghuni rumah berkenaan enggan memberikan kerjasama.

"Pemeriksaan di dalam rumah yang dalam keadaan cahaya samar-samar itu mendapati seorang wanita sedang duduk di sebelah katil di bilik utama dengan berpakaian lengkap seluar serta baju lengan panjang," katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan merupakan pemilik inap desa tersebut manakala pasangannya pula berstatus janda yang bekerja di daerah yang sama.

Lelaki itu memberi alasan hanya menghantar wanita terbabit untuk menyewa di situ bagi memudahkan urusan beraya di rumah kawan pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, pasangan yang bukan muhrim itu tetap ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkhalwat di tempat sunyi dan tertutup.

Pasangan tersebut kemudiannya dibawa ke pejabat agama untuk tindakan dan siasatan lanjut.

+ - reset