Berita Berita
Pemandu mabuk berdepan hukuman mati didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang
KLANG 1 April – Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.
Tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada hari sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 serta perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen termasuk laporan bedah siasat, patologi dan forensik.
Tertuduh tidak diwakili peguam. Prosiding turut dihadiri isteri mangsa, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang diwakili peguam pemerhati Mohd Faizi Che Abu.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa maut dalam keadaan tragis apabila badannya tercampak selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli buku matematik untuk anak sulungnya.
Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Honda City yang dipandu tertuduh dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa, manakala ujian air kencing menunjukkan lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol.
Berita berkaitan
April 1, 2026, 10:48 am
Ibu tunggal, dua anak ditahan subahat 'simpan' kekasih dalam rumah
April 1, 2026, 10:20 am
“Saya nak nyawa dibalas nyawa” – Isteri mangsa maut dirempuh pemandu mabuk tuntut keadilan
April 1, 2026, 10:09 am
MCMC siasat 3 individu sebar berita palsu tarif elektrik
April 1, 2026, 10:01 am
Beri alasan hantar 'check-in' inap desa, lelaki berstatus suami orang ditahan berkhalwat
April 1, 2026, 9:47 am
Anne Ngasri dilantik Pengerusi Hotel Premiera Kuala Lumpur
April 1, 2026, 9:38 am
Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg PM arah tangguh dedah hasil siasatan Azam Baki
March 31, 2026, 10:41 pm
Yayasan Kubra menang di mahkamah, perintah siasatan kuil di Rawang dibatalkan
March 31, 2026, 8:49 pm
